KONSULTAN DARI AUS
Dia keturunan ‘Mat Salleh’, tapi susuk badannya tidak tinggi lampai macam kebanyakkan ‘Orang Putih’ yang biasa kita kenali. Orangnya tegap. Pendek. Tingginya macam kebanyakkan penduduk Malaysia - lebihkurang 5 kaki 4 inci.
Dia saorang konsultan. Pakarunding Program Radio Pendidikan, didatangkan khas dari Australia. Tugasnya untuk membantu PSKSS mencapai matlamatnya sebagai penyiar rancangan pendidikan radio yang berwibawa.
1 tahun satengah dia berkhidmat di PSRKSS. Sebagai saorang konsultan dia banyak membuat penyelidikan dan menulis laporan. Dia juga kerap mengendalikan kursus singkat kepada kakitangan penerbitan dan melawat ke-sekolah-sekolah.
Kami di Perkhidmatan Melayu beri dia nama jolokan ‘Mat Kambing’, munkin kerana Australia terkenal dengan eksport kambing biri-birinya.
Namanya Jeff Rushton. Beliau menumpang pejabat di Bilik D.Geofrey, Pengelola Rancangan Inggeris. Secara langsung kakitangan penerbitan di Bahagian Inggeris lebih rapat dengan Jeff Rushton dari kami di Bahagian Melayu.
Apapun, manusia Jeff Rushton ini berhemah orangnya. Tiap kali masuk pejabat, dengan penoh senyum dia memberi ucap selamat kepada kami, walaupun ada kalangan kakitangan dari Bahagian Melayu saja-saja membalas salamnya dengan ungkapan ‘kawasan pendaratan helicopter - dah sampai.’ Ini kerana kepala Jeff Rushton botak ditengah. Pun bagitu Jeff Rushton tetap memberikan senyumnya kepada kami.
Sebagai salah saorang Penerbit Kanan aku acapkali bermesyuarat dan melawat sekolah bersama Jeff Rushton, sampai ke Kedah kami melawat. Perhubungan kami agak rapat. Ada kalanya di hujung minggu Jeff Rushton membawa isteri dan anak lelakinya kekediaman kami di Ampang Jaya.
Jangkamasa perkhidmatan Jeff Rushton di PSRKSS berakhir 18 bulan kemundian. Beliau telah berangkat kembali ke ABC,Sydney, Australia. Tidak ada jamuan perpisahan secara besar-besaran atau sumbangan cenderahati kami beri untuk perpisahannya.
Kemundian dari Sydney Jeff Rushton mengutus surat ucapan terima kasih kepada kami, disamping menyatakan betapa bertuahnya beliau dan keluarga berpeluang tinggal dan berkhidmat sengkat di Malaysia. Katanya beliau sangat hormat dengan penduduk-penduduk Malaysia yang beliau temui. Semua mereka berhemah tinggi.
Surat itu beliau tulis tangan dalam Bahasa Indonesia yang baik. Kami terkejut, bahawa selama ini Jeff Rushton celek Bahasa Indonesia, dan pada pengamatan kami beliau samestinya faham Bahasa Malaysia yang kami tuturkan sepanjang masa, teruatama ketika mengelarnya dengan gelaran ‘Mat Kambing’ atau mengusik tompok botak dikepalanya sebagai ‘kawasan pendaratan helikopter.’
Satu-satunya cenderahati yang beliau bawa pulang ialah Direktori Telipon Telekom Malaysia. Katanya dia sangat teruja membaca pelbagai jenis nama tiap bangsa dan etnik Malaysia yang tersenarai dalam direktori itu. ‘Membaca direktori telepon Malaysia, menghiburkan,’ katanya.
Kehadhiran Jeff Rushton sebagai Konsultan di PSRKSS secara langsung meninggalkan impak kepada aku, juga beberapa rakan penyiar lain-lain.
Nota Kaki:
Semasa anak sulungku Mohammad Nazli ketika itu beliau berumor 11 tahun, pertama kali kerumah sepupuku permastautin tetap di Mosman, Sydney; aku bekalkan beliau alamat Jeff Rushton dengan pesanan mengunjungi kediaman beliau. Sebulan Mohammad Nazli berada di Sydney, dan aku telah menerima surat panjang lebar dari Jeff Rushton menyatakan kegembiraannya menemui anakku itu. Menurut ingatannya semasa dia berkunjung kerumah kami di Ampang Jaya, Mohammad Nazli masih saorang bayi kecil.
No comments:
Post a Comment