Saturday, August 30, 2008

Alkisah 51 TAHUN DAHULU

Sebermula..31 Ogos 1957, 51 tahun dahulu Penulis menyambut Merdeka di kampong Tanjung Bayan, daerah Hilir Perak.
Semangat Merdeka waktu itu zahir dari keinginan untuk bebas dari penjajahan Inggeris. Itulah semangat rakyat jelata Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun ramai yang tidak segan silu menyuarakan rasa kebimbangan mereka, tapi dihati masing-masing (Penulis yakin) mereka mengalukan kehadhiran tarikh bertuah itu.
Merdeka bermakna penjajahan British di Tanah Melayu telah tamat. Kolonialis British yang memerintah rakyat Persekutuan Tanah Melayu bersetuju membebaskan negeri ini dan pulang kenegeri masing-masing. Anak tempatan akan mengambil alih tampuk pemerintahan diketuai Bapa Kemerdekaan YTM Tunku Abdul Rahmman Putra dalam suasana keselamatan negeri yang tidak menentu dan sangat membimbangkan.
Gerombolan kominis di hutan tetap terus menerus menggilla melancarkan perang gurila yang sengit. Dharurat telah di istiharkan sejak tahun 1948 lagi. Banyak ‘kawasan hitam’ (kawasan berkurung) wujud di seluruh Persekutuan Tanah Melayu, menjadikan pergerakan rakyat sangat terbatas.
Keganasan Kominis menjadi-jadi. Berita perjuangan Kemerdekaan tindih bertindih dengan slogan ancaman dan anti Merdeka pengganas komunis. Pertubuhan-pertubuhan Politik dan Pekerja banyak telah berjaya dipergunakan dan resapi pengaruh Kominis. Gerakan subersib menjadi-jadi. Ramai pasokan pertahanan negara gugur di medan pertempuran mempertahankan kedaulatan negara. Balapetaka keganasan ancaman peperangan gurella kominis waktu itu sangat menakutkan ramai.
Pun bagitu semangat juang wira-wira negara dan pejuang-pejuang Kebangsaan tidak luntur. Gerakan Merdeka tetap terus diperjuangkan dengan gigih dan berani. Genderang semboyan perjuangan dengan sahutan ‘Merdeka’, ‘Hidup Tunku’ & ‘Hidup Melayu’ tetap terus menerus dicetus melalui pekikan anak watan, berkumandang dibandar, pekan dan desa. Parti PERIKATAN yang dianggotai UMNO,MCA dan MIC telah melengkapi komponen 3 suku kaum terbesar di Tanah Melayu zaman itu berganding tenaga bersatu menuntut Kemerdekaan Negara.
Penulis dalam (Tingkatan 3) Form 3 pelajar Sekolah Inggeris Kerajaan (GES) kelas yang tertua pertama kali akan menduduki Pepereksaan LCE (Lower Certificate of Education) tahun itu. Sebagai kelas tertua dan kumpulan pelajar terkanan dari jumlah lebihkurang 500 pelajar, kami dalam Form 3 ditawarkan Guru Besar pass untuk sama-sama meraikan Pemashuran Kemerdekaan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada pagi 31hb Ogos 1957. Kos perjalanan dan tempat tinggal tanggungan sendiri, sebab sekolah tidak mampu untuk menangung kos yang besar itu.
Pengumuman itu dialukan. Penulis antara yang awal kapejabat Guru Besar untuk mendapatkan pass. Penulis yakinkan pihak sekolah, mampu untuk ke Kuala Lumpur dan sedia mempunyai keluarga di Kampong Dato’Keramat.
Tapi malang bagi Penulis, kekacauan dan ancaman perang gurella kominis tidak akan menjamin keselamatan disepanjang perjalanan ke ibunegara. Semua kawasan yang akan di lalui dari Kampong Tanjung Bayan ke Teluk Anson, ke Bidor, Sungkai, Slim River ke Tanjung Malim melalui Ulu Bernam, Batang Kali, Kerling, Kuala Kubu, Rawang ke Kuala Lumpur sepanjang perjalanan yang dilalui, kerap berlaku keganasan serang hendap gerombolan kominis. Walaupun pasukan Keselamatan ada berkawal, kabarnya di sepanjang perjalanan itu, terdapat kawasan-kawasan hutan terpencil jalanraya berliku melalui kawasan berbukit bukau kerap jadi sasaran serang hendap gurella kominis. Berita-berita bas penumpang diserang hendap dan di bakar, berupa berita-berita biasa menghiasi dada akhbar waktu itu.
Bapa, ibu dan keluarga Penulis memberi nasihat tidak dapat menjamin keselamatan diperjalanan, walaupun kedua ‘uncle’ Penulis di Datok Keramat telah dimaklumkan dengan surat minta mereka menunggu di Perhentian Bas, di Melaka Street, Kuala Lumpur. Ibu dan Bapa tidak melarang untuk Penulis ke Kuala Lumpur. Penulis perlu ambil keputusan sendiri. Perkara yang sangat sukar untuk dilaksanakan.
Akhirnya dengan rasa berat hati Penulis terpaksa akur nasihat keluarga dan membatalkan hasrat untuk ke Kuala Lumpur itu. Terbantut hasrat Penulis untuk ke Stadium Merdeka pada awal pagi 31hb Ogos 1957 saperti jadual yang tertera dimuka belakang ‘pass’ Jemputan ke Acara Pemasyuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah sedia dikemas kedalam bag perjalanan itu.
‘Memadai sajalah sambut Merdeka di kampung’, semacam ada suara bapa dan ibuku memujuk.
Dan hingga kehari ini 51 tahun kemundian, menjelang sambutan Kemerdekaan Penulis tetap bangga menjadi Rakyat negeri ini berjaya menyaksikan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan satelah lebih 500 tahun dijajah, cuma Penulis rasa terkilan tidak berpeluang menyaksikan sendiri acara bersejarah dan yang gilang gemilang itu, walaupun peluang itu ada. Keadaan keselamatan negara tidak membolehkan Penulis (berumor 16tahun tahun itu) di yakini selamat untuk mengembara sejauh lebih 160km melalui kawasan berkurung kerana Dharurat untuk ke Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.
Esok kita merayakan Perayaan Hari Kebangsaan.
'Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.'
'Dirgahyu Ibu Pertiwi.'

No comments:

About Me

My photo
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.