Wednesday, February 24, 2010

RASCOM i

RASCOM/Rejang Security Command

Sebagai Penerbit TV saya mula ditempatkan di Bahagian Hal Ehwal Awam.

Dalam tahun 1972 keselamatan Negara keseluruhannya masih diancam keganasan grombolan kominis dihutan. Penubuhan RASCOM (Rejang Security Command) di Sarawak oleh Perdana Menteri Ke2 Tun Abdul Razak Hussein, menyebabkan saya sering dihantar bertugas kenegeri itu, disamping tugasan yang sama bentuknya di Persempadanan Malaysia/Thailand.

Penghantaran Penerbit dan Krew Filem RTM itu, sekaligus dibawah kawalselia terus Majlis Keselamatan Negara dan The Arm Forces Council. Tugas kami menerbitkan siri-siri dukumentri ehwal Keselamatan Rakyat di negeri itu dan peranan yang dimainkan oleh Pasukan Keselamatan dan Polis.

Bertugas di Sarawak pada tahun-tahun 1972 dan 1973 bukan sesuatu yang menyeronokkan. Untuk penerbangan ke Kuching waktu itu tidak ada peruntukan untuk Krew TV mengunakan kemudahan penerbangan komersil. Hanya Penerbit (Pegawai dalam katagori Division 1) sahaja yang layak menggunakan penerbangan komersil, manakala Krew Filem (Kebanyakkan mereka dalam Division 3) terpaksa naik ‘Charlie’ – kapalterbang pengangkut TUDM. 


Mau tidak mau, demi kemantapan pasukan kami setuju ikut “Charlie’. Aku terpaksa ketepikan kelayakkan aku sebagai Pegawai Penerbit TV-RTM untuk naik penerbangan komersil.

Urusan perjalanan kekawasan panas “forward locations” dalam kawasan RASCOM, kami diangkut dengan Helicopter Allauette atau dalam Farret Car (Kereta Perisai). Helikopter jenis Alouette boleh memuatkan 4 penumpang. Menaiki helicopter Alouette yang cenderung terbang rendah merentas hutan belantara menuju kedestanasi di 'foward location' sangat menakutkan bagi ‘orang awam’ saperti kami. Bagitu pula ketika menaiki “Army Assault Boat” melalui  anak-anak sungai disekitar perairan Sungai Rejang. Ada kalanya kami menaiki truk dan bergerak dalam convoy  yang besar biasanya diiringi kereta perisai.  

Taklimat keselamatan berupa rutine harian yang terpaksa kami lalui sabelum diangkut masuk ke ‘kawasan panas’ sepanjang hari, ke Rumah Panjang, ke Khemah Tentera, ke ‘kawasan yang baru berlaku pertempuran’ dsbnya. Krew filem yang biasa ditugaskan ikut penerbitan saya selalunya krew junior ( munkin barangkali crew senior di Bahagian Filem RTM waktu itu lebih selesa uruskan ‘desk-job’ atau turun kelokasi penerbitan Drama TV di sekitar Kuala Lumpur terbitan pegawai Penerbit Kanan dengan artis-artis glamour.) Antara mereka jurukamera filem yang regular berkerja dengan saya di ‘forward locations’: Teddy Lam, Teoh Tek Koon, Fong Chong, Zainal Osman, Bala,Zambri, Seith, Halim dan juru audio Azmi Omar, Shamsuddin dan Tim. Mereka ini rata-rata ‘green horn’ saperti saya juga. Ikut arahan, tanpa memikirkan kepentingan diri. Jatidiri, setiakawan dan professionalisma yang mereka tunjukkan, sangat saya hargai.


NANGA SKUAU

Lapuran berita 23 Februari 2010 menguja saya menulis pengkesahan ini. Berita Perdana Menteri Dato’Seri Mohammad Najib Tun Razak, di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, dalam kawasan RASCOM mengumumkan peruntukan Kerajaan sajumlah RM35 juta untuk Skim Penempatan Samula RASCOM yang telah dicetuskan oleh bapa beliau PM Ke2 – Tun Abdul Razak Hussain dalam tahun 1972, mengimbau kembali kenangan SAYA 38 tahun dahulu berkelana dihutan-hutan pendalaman kawasan RASCOM, Sarawak. Subsidi RM18 juta diperuntukkan untuk baikpulih Rumah Panjang di penempatan-penempatan Nangga Janggu, Nanga Ngungan, Nanga Skuau dan Nanga Tada. Terdapat sajumlah 1420 unit rumah dalam rangkaian Rumah Panjang ini menempatkan 12,000 penduduk. Tiap satu yunit diberi subsidi RM12,000.00 untuk tujuan pemulihan itu.

Semasa ulang alik bertugas di Sarawak dalam tahun 1972, saya dan krew RTM pernah diatur melawat satu kawasan penempatan samula penduduk rumah panjang di Nanga Skuau. Kami menaiki helicopter Nuri, ditemani oleh saorang pegawai Kerajaan, orang Iban…namanya Alfred Jabu ak Numpang  ( Datuk Patinggi Tan Seri Alfred Jabu ak Numpang). Semasa helicopter Nuri menghampiri kawasan tersebut dan akan mendarat disabuah tanah lapang, kami nampak deretan penduduk di penempatan samula itu, berpusu-pusu ikut rombongan adat yang akan menyambut kami di ketuai oleh Ketua mereka (Tuai Rumah).

Kami saterusnya diarak kesalah sabuah dari 5 Rumah Panjang yang baru dipindahkan ke kawasan situ. Kedatangan kami telah disambut ikut adat orang-orang Iban. Secara kebetulan Alfred Jabu, Saya dan Pegawai Border Scout jadi tetamu kehormat didudukkan disatu tempat istimewa. Majlis itu berlangsung disabuah pelantar Rumah Panjang itu dan dihiasi dengan bendera Malaysia dan bendera Sarawak. Jamuan kueh mueh dan pulut kuning tradisi Iban, di samping air tuak telah di hidangkan.

Pada klimaks acara sambutan tersebut beberapa das tembakan dilepaskan oleh Tuai Rumah dan Ketua Polis - Border Scout. Saterusnya saekor ‘babi’ telah disembelih.

Alfred Jabu mangaturkan kami yang beragama Islam tidak perlu minum air tuak yang dihidangkan dan ketika upecara menyembelih dilakukan, kami awal-awal telah dibawa keruang yang berasingan.

Secara kebetulan hujan telah turun selesai sahaja upecara tersebut ditengah-tengah musim kemarau yang genting dikawasan itu. Menurut Alfred Jabu, penduduk tempatan percaya kedatangan kami hari itu membawa tuah. Saterusnya beliau mencadangkan saya dan krew tv perlu datang samula untuk penerbitan dukumentari filem khas projek penempatan samula Nanga Skuau itu.

Kami dibawa meninjau kawasan dan diberi taklimat ancaman grombolan kominis yang membunoh dan membakar rumah-rumah panjang diaderah itu menyebabkan Kerajaan mengambil tindakan penempatan samula itu, dengan dijamin keselamatan oleh Kerajaan.

Krew RTM tidak membuat sebarang liputan ekslusif hari itu, kerana ianya dianggap sebagai lawatan projek sahaja. Kami perlu timbangkan kemunkinan untuk menerbitkan satu rancangan dukumentri tv pada masa yang terdekat. Itu yang saterusnya saya lakukan. Pulang ke Angkasapuri, saya terfus uruskan perancangan penerbitan sabuah dukudrama berjudul Nanga Skuau.


Nota Kaki:
Kesah pengambaran dukudrama Nanga Skuau akan saya catatkan dalam blog ini, kemundian nanti Insyaalah.

No comments:

About Me

My photo
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.