Bapak kembali kerahmatullan 48 tahun lalu - tanggal 6hb.September 1960. Ketika itu aku berumur 19tahun dan baru terima keputusan Pepereksaan Cambridge School Certificate & Federation Of Malaya Certificate of Education. Aku menyandang Jawatan Guru Sementara, di Sekolah Umum Sungai Batang, dalam daerah Bagan Datok; dengan gaji pokok RM137.50 tidak termasuk COLA.
Emak pula telah kembali kerahmatullah 15 tahun lalu - tanggal 4hb November 1993 ( 3 tahun menjelang persaraanku satelah 35 tahun berkhidmat di Sektor Awam).
Hari ini satelah sakian lama kedua mereka meninggalkan kami, kami adik beradik sepakat Mengambil Kuasa atas harta sadikit yang ditinggalkan kedua mereka itu.
Aruah Bapak telah meninggalkan harta pusaka sajumlah (satu satengah ekar) dan aruah emak satengah ekar. Menurut satu unsur harta pusaka Emak sajumlah hampir 2 ekar - tapi buat ketika ini tidak dapat disahkan. Itulah hartanah akan kami warisi enam beradik. Tidak seberapa jika di ukor di segi saiz dan nilai. Tanah itu letaknya dalam Resab Melayu - Untuk Pertanian Selamanya. Tidak boleh ditukar bentuk.
Kami adalah anak Pekebun Kecil ( Small Holder ) sebagai yang telah dimeterikan oleh Kerajaan British Malaya bagi penduduk The Malay Settlement (Tanah Resab Melayu) zaman pra-Merdeka. Bayangkan bagaimana harus kami menyara hidup ini sebagai warga Rezab Melayu mengusahakan tanah pusaka peninggalan Bapak yang tidak seberapa itu.
Alhamdullillah Allah memberikan hamba Nya rezeki yang setimpal, dan kecerdasan akal fikiran untuk berakhtiar dan bertindak bagai menanangi hidup di MayaPada ini. Kami akur pada Qadar dan Qadaq yang MahaBerkuasa dan bersyukur, atas segala kurnia dari Nya. Untuk maju kami adik beradik telah ambil keputusan mencorak hidup diluar kawasan Reserve Melayu itu, kerana hasil dari satu satengah ekar kebun kelapa peninggalan aruah Bapak hanya cukup untuk menyara Emak. Aku dan adik lelaki memilih berkhidmat di sektor Awam & Swasta, dan 3 daripada 4 adik-beradik perempuan ku ikut suami masing-masing. Saorang ikut suami sebagai Peneroka Felda dan dua sebagai Pekerja Swasta. Hanya kakak sulungku, suami dan anak-anaknya setuju untuk terus menghuni rumah pusaka aruah Bapak, dengan suaminya berkerja sebagai buruh kasar. Kakakku - bersetuju untuk menemani aruah Emak yang telah memilih untuk menetap di Tanjung Bayan. Keduanya kembali kerahmatullah (mula-mula kakakku dan setahun kemundian emak.)
Hari ini kami berlima adik beradik: Aku, Jabedah, Halijah, Zainal, Salbiah dan tiga anak kakak Salmah yang telah meninggal dunia salepas bapak, telah menyempurnakan tanggongjawab kami pada pengagihan harta pusaka menurut hukum syarak di hadapan hakim Pentadbir Tanah Negeri Perak Darul Ridzwan. Majlis di adakan di Bilik Bicara, Pejabat Tanah & Daerah Hilir Perak di Teluk Intan bermula jam 10.30 pagi dan berakhir jam 12.30.
Sebagai anak yang tua aku bersyukur dapat menyempurnakan tanggungjawab itu, dengan teratur, budibicara antara adik beradik, dan dilaksanakan dihadapan penguasa yang bertanggung jawab. Bagitu pula adik beradik dan anak-anak saudaraku, walaupun pulangan yang mereka perolehi hasil pengagihan ini tidak seberapa. Kini plot masing-masing itu, terlalu kecil untuk dijadikan kawasan berkebun buah-buahan. Jika pun di usahakan hasil yang diterima pastinya tidak mencukupi walau untuk menguruskan kawasan hak masing-masing itu, apatah untuk menyempurnakan bayaran hasil tahunan. Satu jenerasi lagi, apabila sampai ketikanya hak masing-masing ini pindah ketangan waris-waris mereka, dijangkakan plot hak mereka terlalu terlalu kecil, hatta untuk menanam sebatang pohon pisang pun tidak cukup kawasan bagi pewaris-pewaris itu.
Leluhur Rezab Melayu saterusnya akan terpinggir di tanah kelahiran nenek moyang mereka sendiri.
Wallahualam.
Wallahualam.
--
Kini ketika ras dan Ketuanan Melayu di negara kita yang tercinta ini rancak di pertikaikan, leluhur Melayu yang menghuni Tanah Resab Melayu secara 'sedar dan terancang' sedang terpinggir dan dipinggirkan. Pemodenan dan pembangunan negara menjadikan luar bandar Kawasan Urban metropolitan. Bandar dan Pekan tumbuh bagaikan cendawan diseluruh pelusuk tanah air. Kawasan kosong dan terbiar, ladang, sawah dan perkampungan satu ketika dahulu, kini telah bertukar menjadi kawasan perumahan yang moden, lengkap dengan praserana kota metropolitan dan kawasan perindustrian dalam perbandaran yang terancang. Secara langsung telah terbangun dan dibangunkan kawasan kediaman rakyat, diperlengkap dengan segala kemudahan termasuk supermarket dan hypermarket. Dan kawasan-kawasan perbandaran baru ini berkembang di persekitaran wujudnya Tanah Resab Melayu, menjadikan kawasan Malay Settlement ini bagaikan melukut ditepi gantang. Tidak punya nilai (komersil) maupun boleh dimajukan selain dari hanya sebagai kawasan pertanian.
Kala ini sementara orang Melayu masih mempunyai kuasa di Negara yang tercinta ini, Tanah Resab Melayu (The Malay Settlement) ini patut dimajukan. Kawasan Resab Melayu kampungku, munkin lebih besar dari kebanyakkan Rancangan Tanah Felda yang sangat mendapat perhatian Kerajaan. Munkin ada cara yang terbaik boleh dilakukan oleh Pemerintah.
Sama-sama kita berdoa.
No comments:
Post a Comment